MISI bantuan pasca banjir Pergerakan Pemuda Umno Malaysia diteruskan di Pahang, hari ini membabitkan Sukarelawan Pemuda Umno dan Skuad Sabil Malaysia.
Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata misi pembersihan dan menyampaikan bantuan dijalankan di beberapa lokasi pasca banjir di Mentakab, Pahang.
Menurutnya, setakat hari ini secara keseluruhan setiap hari Pemuda Umno berjaya menyelaraskan gerak kerja operasi bantuan dan pembersihan banjir.
“Sukarelawan dikalangan Pemuda Umno dan Skuad Sabil antara 1,000-1,500 orang setiap hari.
“Mereka datang silih berganti dan digerakkan ke lokasi-lokasi yang memerlukan kerja-kerja pembersihan sama ada tempat awam mahupun taman perumahan dan rumah persendirian,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Beliau berkata antara sukarelawan yang menyertai misi hari ini daripada Kedah dengan lebih 100 orang turun padang untuk bersama dalam Misi Pembersihan di Pahang dengan diketuai Ketua Pemuda Umno Kedah Mohd Fadzil Zolkifli.
Menurutnya, turut menyertai misi berkenaan adalah Pemuda Umno dari Merlimau Melaka diketuai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Dr Muhamad Akmal Salleh yang ingin membalas budi orang Pahang turut membantu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang lalu.
“Bangga saya mendengar kata-kata YB Dr Akmal yang baru menang di DUN Merlimau pada PRN Melaka baru-baru ini.
“Bahkan beliau sanggup tangguhkan Mesyuarat Post-Exco Kesihatan dan Anti Dadah hanya untuk bersama menyumbang tenaga dan keringat bagi membantu Misi Pembersihan dan menyampaikan bantuan di Mentakab.
“Doakan usaha dan perjalanan kami diberkati dan dipelihara Allah,” katanya. – Malaysiapost

