JUMLAH kematian harian akibat Covid-19 yang dilaporkan semalam adalah sebanyak 36 kes dengan dua daripadanya adalah kes kematian luar hospital (BID).
Berdasarkan data dikongsikan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di portal COVIDNOW, jumlah kumulatif kematian akibat Covid-19 sejak wabak berkenaan melanda negara kini mencecah 31,428 kematian.
Daripada jumlah itu, korban diklasifikasikan sebagai BID adalah seramai 6,340 kes.
Sehingga tengah malam tadi, sebanyak 41,682 kes aktif dilaporkan, termasuk 288 yang ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) dan 162 pesakit yang memerlukan alat bantuan pernafasan.
Sebanyak 4,322 kes sembuh turut dilaporkan, manakala jumlah kumulatif kes Covid-19 direkodkan setakat ini adalah 2,750,516 kes. – Malaysiapost

