Omicron : Dua kes di Johor libat jemaah umrah

0
1

JABATAN Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) mengesan dua kes Covid-19 melibatkan varian Omicron dalam kalangan jemaah umrah yang tiba dari Arab Saudi, di negeri itu semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R Vidyananthan berkata dua kes melibatkan pasangan suami isteri yang menunaikan umrah pada 4 Disember lalu dan pulang ke tanah air melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 16 Disember.

“Ujian Saringan Polymerase Chain Reaction (PCR) di Pintu Masuk Antarabangsa KLIA yang dijalankan dikesan positif pada 18 Disember. Kini kedua-dua mereka menjalani isolasi di rumah di Johor Bahru.

“Kesemua kontak rapat kepada kedua-dua kes juga dikenal pasti dan diberikan arahan pengasingan dan pemerhatian di rumah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Vidyananthan berkata, sampel saringan PCR dihantar ke Institue Of Medical Research (IMR) bagi menjalani proses jujukan genom dan keputusan kemudian didapati positif Omicron.

Berikutan perkembangan terbaharu itu, JKNJ mengingatkan agar semua rakyat Johor yang pulang dari luar negara khususnya dari umrah untuk mematuhi arahan kuarantin wajib yang diberikan.

“Sila terus kekal berada di dalam bilik berasingan dan tidak bertemu dengan ahli rumah atau individu yang lain.

“Kegagalan mematuhi arahan ini akan menyebabkan penularan jangkitan Covid-19 termasuk varian Omicron dalam kalangan ahli keluarga dan komuniti,” katanya lagi.

Dalam masa sama, orang ramai diingatkan untuk sentiasa mengamalkan norma baharu dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Amalkan pemakaian pelitup muka, mencuci tangan dan menjaga penjarakan serta elakkan sembang jarak dekat dan berada di dalam ruang yang sempit,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here