KPM teliti keperluan tangguh lagi sesi persekolahan

0
1
Persekolahan dibuka semula hari ini selepas ditutup pada 9 November 2020 menyaksikan murid pra sekolah, Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), Darjah 1 dan 2 di Sekolah Kebangsaan Bandar Tasik Puteri, Rawang. Menariknya seorang cikgu memakai maskot kucing bagi menghiburkan murid-murid yang hadir hari ini.

KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) akan meneliti keperluan menangguhkan lagi sesi persekolahan penggal ketiga 2021/2022 bagi sekolah yang terjejas teruk akibat banjir.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata ia bergantung keadaan semasa jika terdapat sekolah yang masih tidak bersedia kerana rosak teruk akibat banjir, lapor Berita Harian.

Radzi berkata beliau telah melawat ke sekolah di Seri Muda, Shah Alam dan Putra Height, yang terjejas teruk akibat banjir hingga merosakkan bahagian bawah sekolah serta kemudahan lain seperti perabot, komputer dan buku teks.

“KPM mahu perkara ini diselesaikan secepat mungkin sebelum sesi persekolahan dibuka.

“Kita harap pihak sekolah bekerjasama dengan Pejabat Pendidikan Daerah dan Jabatan Pendidikan Negeri untuk memperinci keperluan persekolahan yang rosak bagi memudahkan KPM menyalurkan bantuan,” katanya hari ini.

KPM sebelum ini menetapkan sesi penggal ketiga bermula pada 2 Januari 2022 bagi sekolah Kumpulan A dan 3 Januari 2022 bagi Kumpulan B.

Bagaimanapun ia ditangguhkan seminggu berikutan banjir besar melanda beberapa negeri minggu lalu.

Susulan itu, Radzi baru-baru ini mengumumkan sesi persekolahan bagi sekolah Kumpulan A akan bermula pada 9 Januari 2022 dan 10 Januari bagi Kumpulan B.

Dalam perkembangan berkaitan, Radzi berkata KPM akan terus melaksanakan sistem penggiliran kehadiran murid apabila sekolah dibuka nanti.

Katanya, perincian mengenainya akan diumumkan dalam masa terdekat. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here