KERAJAAN tidak menolak kemungkinan pembinaan projek Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE) di Hulu Langat, antara faktor menyumbang kepada banjir besar di sekitar Taman Sri Nanding.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pemantauan di kawasan perumahan itu mendapati projek pembinaan EKVE menyebabkan longkang tertutup hingga mengganggu sistem saliran.
Seterusnya beliau berkata air Sungai Langat yang terletak di belakang Taman Sri Nanding melimpah hingga menyebabkan banjir setinggi tingkat pertama rumah.
“Banjir ini bukan saja disebabkan oleh hujan, tapi (tinjauan) di Taman Sri Nanding tadi kerana projek EKVE.
“Longkang tertutup dan sebagainya, menyebabkan banjir lebih cepat berlaku,” katanya pada sidang media di Masjid Al-Muttaqin hari ini, lapor Berita Harian. – Malaysiapost

