‘Kami sendiri pun ramai yang jadi mangsa banjir’

0
1

RAMAI pekerja Majlis Perbandaran Bentong (MPB) turut menjadi mangsa banjir yang berlaku pada malam 19 Disember lalu.

Perkara itu diakui sendiri oleh Zikri Zainal Abidin yang berkata, hampir semua rakan sekerjanya dilanda musibah banjir luar biasa itu.

Dia yang bekerja sebagai pembantu penguatkuasa MPB menjelaskan, keadaan itu sukar dipercayai kerana banjir kali ini turut melanda kawasan yang sebelum ini tidak pernah terjejas dengan banjir.

“Ramai yang tinggal di Kampung Chegar Medang, Benut, Karak, itu semua adalah kawasan yang teruk terjejas dilanda banjir.

“Hampir keseluruhan rakan sekerja alami banjir, dahsyat banjir kali ini. Rumah berlumpur teruk, barang semua rosak tak boleh guna, motosikal dan kereta tenggelam, rosak. Tak tahu nak cakap lah.

“Jadi kita kekurangan staf, mereka sekarang pun sedang bersihkan rumah mereka sendiri, perasaan pun masih sedih, hilang banyak harta benda, kalau bukan rumah sendiri kena banjir pun, rumah emak ayah pula kena banjir, jadi ramai staf kita yang terbabit banjir terpaksa selesaikan urusan rumah sendiri, keluarga dulu,” katanya kepada Malaysiapost.

Zikri ditemui ketika sedang bertugas memastikan kerja-kerja membersihkan pekan Bentong daripada kesan lumpur banjir dilaksanakan, malam tadi.

Bagaimanapun, Zikri berkata, bebanan tugas MPB untuk melaksanakan kerja-kerja pembersihan pasca banjir telah diringankan susulan dua pihak berkuasa tempatan menghantar pasukan sukarelawan ke Bentong.

“Mujur ada bantuan daripada luar, merekalah yang menampung banyak kerja kami sekarang ini. Tengoklah tu, malam ni mereka bersihkan lumpur di kawasan hentian bas ini.

“Setakat ini yang datang membantu ialah Majlis Bandaraya Ipoh dengan 28 orang, daj Majlis Bandaraya Pulau Pinang dengan 15 orang.

“Alhamdulillah, kalau tak ada bantuan macam ni, memang sukar kerja MPB nak bersihkan Bentong ni. Jadi saya sendiri nak ucapkan kepada terima kasih kepada yang membantu MPB kali ini,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here