PEMILIK kenderaan yang dicuri digesa supaya membuat laporan kepada pihak polis, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abdul Jalil Hassan.
Beliau berkata, pemilik boleh datang sendiri ke balai atau meminta anggota datang ke premis masing-masing untuk diambil laporan.
“Pemilik perlu kenal pasti lokasi kenderaan sebelum membuat laporan dan nyatakan tempat letak kereta asal sama ada ia dihanyutkan atau rosak.
“Pastikan sama ada berlaku kecurian pecah masuk dan nyatakan dalam laporan apa yang hilang dari dalam kereta,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.
Beliau berkata demikian ketika melawat Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam, hari ini.
Abdul Jalil berkata, amat penting untuk mangsa yang terbabit mengenal pasti pihak yang menunda kenderaan mereka untuk mengelakkan kerumitan di kemudian hari.
“Mangsa perlu kenal pasti sama ada lori tunda dari majlis perbandaran tempatan atau pihak lain. Dapatkan butiran syarikat penunda dan lokasi di mana kereta anda akan dibawa untuk proses pembaikan.
“Ambil gambar kenderaan anda yang rosak dan lebih penting ambil juga gambar kenderaan yang menunda.
“Maklumat tersebut diperlukan oleh pihak insurans untuk membuat penilaian terhadap kenderaan terbabit,” katanya. – Malaysiapost

