AHLI Parlimen Hulu Langat Datuk Hasanuddin Mohd Yunus boleh dikenakan denda RM1,000 sekiranya didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) untuk menjalankan kuarantin di rumah selepas pulang dari luar negara.
Menterinya, Khairy Jamaluddin, berkata buat masa ini Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang menyiasat mengenai dakwaan bahawa Hasanuddin dilihat keluar ke kawasannya yang dilanda banjir beberapa hari selepas pulang dari luar negara sekali gus tidak menjalani kuarantin dalam tempoh tujuh hari serperti yang ditetapkan oleh kerajaan.
“Kami sedang berusaha untuk mengetahui apa yang berlaku dalam kesnya. Dia sebelum ini memohon pengecualian kuarantin di rumah untuk perjalanan antara 8 hingga 12 Disember untuk menyertai Sidang Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Istanbul. Pengecualian itu diluluskan kerana protokol ujian dan pelepasan yang kita ada untuk perjalanan rasmi.
“Bagaimanapun, Hasanuddin tiba di negara ini pada 22 Disember lalu, maka permohonan asalnya untuk pengecualian di rumah ditolak kerana kita dapati beliau turut membuat perjalanan dari Turki ke Iran dan Pakistan.
“Namun pada 20 Disember lalu,Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Balas Krisis (CPRC) Kementerian Kesihatan sudah menghantar emel kepadanya bagi memaklumkan permohonan kuarantin di rumah sudah diluluskan,” katanya dalam sidang media khas, hari ini.
Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada menteri kabinet yang berada di luar negara untuk pulang segera itu perlu menjalani kuarantin atau pun tidak, Khairy berkata, SOP bagi mereka yang melakukan perjalanan ke luar negara perlu dipatuhi.
“Buat masa ini mereka perlu jalani kuarantin, walaupun dipanggil pulang namun sangat penting untuk kita berwaspada dan hati-hati. Maka perkara itu (kuarantin) masih terpakai,” katanya.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan menteri kabinet yang sedang bercuti dan merancang untuk bercuti membatalkan percutian masing-masing, sehingga masalah bencana banjir yang melanda negara ketika ini selesai. – Malaysiapost

