KERAJAAN bersetuju melanjutkan Program Rekalibrasi Pulang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dilanjutkan sehingga 30 Jun 2022.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud, berkata keputusan pelanjutan program itu telah dipersetujui oleh Jemaah Menteri dalam mesyuarat semalam.
“Sejak program itu dilaksanakan mulai Disember 2020 sehingga 21 Disember lalu, seramai 192,281 orang PATI telah berdaftar untuk pulang secara sukarela melalui program berkenaan.
“Tiga negara mencatatkan jumlah tertinggi iaitu Indonesia (99,047), Bangladesh (26,821) dan India (23,844),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, daripada jumlah itu seramai 162,827 orang PATI telah pulang ke negara asal masing-masing.
“Semua PATI adalah dinasihatkan supaya hadir ke Kaunter Program ini dalam tempoh 24 jam dan tidak datang terlalu awal bagi mengelakkan kesesakan di Lapangan Terbang atau Terminal Jeti,” katanya. – Malaysiapost

