Mangsa banjir di Kelantan meningkat, 4 negeri turun

0
1

JUMLAH mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Kelantan mencatatkan peningkatan malam tadi, manakala empat negeri lain termasuk Selangor menunjukkan penurunan.

Bagaimanapun, jumlah mangsa di Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan kekal.

Di Kelantan, sehingga jam 10 malam tadi, jumlah mangsa meningkat kepada 1,666 orang berbanding 1,496 orang petang tadi, membabitkan 10 PPS dibuka kesemuanya di jajahan Pasir Mas, lapor Berita Harian.

Sementara itu, portal rasmi info banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaporkan tiada sungai utama di Kelantan berada pada paras bahaya.

Manakala tiga sungai mencatat paras amaran iaitu Sungai Kelantan di Kampung Temangan, Machang serta Sungai Kelantan dan Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas.

Di Pahang, jumlah mangsa banjir sedikit menurun kepada 34,487 orang yang ditempatkan di 246 PPS berbanding 34,971 orang di 249 PPS petang tadi, menurut aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Sembilan daerah kekal dilanda banjir iaitu Kuantan, Temerloh, Bentong, Bera, Jerantut, Pekan, Lipis, Maran dan Raub.

Dalam pada itu, Lebuhraya Pantai Timur (LPT) menerusi catatan Facebook memaklumkan laluan Chenor ke Karak masih belum dibuka di kedua-dua arah manakala laluan dari Gombak ke Karak di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) sudah dibuka.

Di Melaka, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin berkata, jumlah mangsa banjir di negeri itu berkurangan kepada 114 orang setakat jam 8 malam tadi.

Di Perak, banjir di Changkat Jong, Teluk Intan menunjukkan trend penurunan dengan 153 orang berada di dua PPS di daerah Hilir Perak setakat jam 8 malam berbanding 182 orang petang semalam.

Jurucakap APM dan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Perak berkata, seramai 105 orang sedang berlindung di PPS Dewan Bandaran Teluk Intan dan 48 lagi di PPS Dewan SMK Abdul Rahman Talib.

Di Kuala Lumpur, menurut aplikasi Info Bencana JKM, jumlah mangsa kekal 314 orang di dua PPS.

Di Selangor, Unit Pengurusan Bencana Negeri (UPBN) memaklumkan negeri itu merekodkan penurunan jumlah mangsa banjir iaitu 18,126 orang membabitkan 103 PPS setakat jam 9 malam berbanding 22,250 orang di 111 PPS petang semalam. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here