Banjir Selangor ragut 24 nyawa – MB

0
1

SERAMAI 24 orang terkorban dalam tragedi banjir besar di Selangor setakat semalam, kata Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri mengucapkan takziah kepada semua keluarga mangsa dan berharap mereka diberi kesabaran, kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi musibah ini.

“Dukacita dimaklumkan bahawa setakat semalam, tragedi banjir ini telah mencatatkan kematian 24 mangsa korban,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Amirudin berkata, beliau mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Bencana malam tadi bersama agensi berkaitan susulan hasil beberapa sinergi dan gerak kerja yang dirancang.

“Setakat jam 8 malam semalam, terdapat sekitar 125 Pusat Perpindahan Sementara (PPS) yang menempatkan 5,165 keluarga dengan jumlah mangsa sebanyak 22,875 orang di lapan daerah meliputi 18 mukim di Selangor.

“Alhamdulillah, gerak kerja rapat dengan 3,326 anggota termasuk NGO-NGO akan terus berusaha dalam operasi mengurus termasuk Mencari dan Menyelamat (SAR) mangsa banjir,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Amirudin berkata, setakat jam 9 malam tadi, sebanyak 2,064 tan metrik sampah telah diangkut oleh KDEB Waste membabitkan 1,274 pekerja bagi operasi pembersihan di lapan daerah yang terjejas.

“Usaha ini giat dijalankan bersama bantuan petugas agensi serta kerjasama sukarelawan.

“Mesyuarat ini akan dijalankan secara berkala yakni sekurang-kurangya dua kali seminggu mulai minggu ini,” katanya.

Dalam pada itu, Amirudin turut mengingatkan semua anggota serta agensi berkaitan mengenai kepentingan kebersamaan dan koordinasi serta pematuhan ‘chain of command’.

Katanya, ia bagi memastikan bantuan, terutamanya makanan, peralatan asas serta ubat-ubatan dapat disampaikan secara optimum kepada lokaliti yang memerlukan.

“Ketua Pembangkang, Datuk Rizam Ismail turut mendapat jemputan dan hadir sama untuk berkongsi buah fikiran dalam memudahcara pengurusan banjir bagi membantu seluruh rakyat Selangor,” katanya.

Mesyuarat itu turut disertai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Selain itu, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) serta beberapa agensi berkaitan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here