Banjir: 153 menara telekomunikasi sudah beroperasi, 183 sedang dibaikpulih

0
1

KEMENTERIAN Komunikasi dan Multimedia memaklumkan sebanyak 153 daripada 342 menara telekomunikasi yang terjejas akibat banjir besar di Selangor sudah beroperasi semula, semalam.

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa, berkata sebanyak 183 lagi menara telekomunikasi dalam proses baik-pulih.

“Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedang bekerjasama dengan syarikat telekomunikasi untuk membaik pulih menara komunikasi yang terjejas.

“Kerja baik-pulih sedang giat dijalankan dan menara telekomunikasi yang terjejas dijangka akan kembali beroperasi, tidak lama lagi.

“Pemancar di kawasan yang terbabit akan diaktifkan semula secepat mungkin, sebaik sahaja bekalan elektrik diberikan pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Annuar berkata, dalam menjalankan kerja baik pulih, SKMM dan syarikat telekomunikasi berdepan kekangan, termasuk tidak dapat mengakses ke lokasi menara dan bekalan elektrik diputuskan TNB, bagi tujuan keselamatan penduduk.

Katanya, SKMM juga berbincang dengan persatuan radio amatur bagi mendapatkan bantuan perkhidmatan radio sebagai saluran perhubungan alternatif kawasan yang terkesan.

“Kini, beberapa sistem radio amatur sudah mula beroperasi dan ditempatkan di beberapa kawasan yang terjejas teruk oleh bencana banjir.

“Penduduk diminta untuk bersabar sementara tindakan mitigasi giat dijalankan, bagi memastikan semua penduduk akan dapat kembali menikmati perkhidmatan telekomunikasi seperti sedia kala,” katanya. – Malaysiapost

Kredit Foto: Twitter/Celcom

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here