KERAJAAN digesa segera menyalurkan bantuan khususnya kepada pemilik perniagaan yang terjejas dengan bencana banjir dengan mengenepikan karenah birokrasi.
Presiden Dewan Perdagangan dan Industri Asean Datuk Sohaimi Shahadan, berkata kebanyakan peniaga sudah bedepan pelbagai cabaran sejak Covid-19 dan kini musibah banjir, maka tidak seharusnya berdepan dengan karenah birokrasi.
“Bantulah mangsa banjir ini tanpa birokrasi dan permudahkan urusan kumpulan ini, sebab mereka sudah terbeban sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama lagi.
“Di dalam berita televisyen bunyi macam mudah untuk memohon bantuan, realitinya leceh kerana perlu kemukakan pelbagai dokumen.
“Jadi, ketepikanlah karenah birokrasi yang remeh dan buang masa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, agensi-agensi kerajaan yang berkaitan dengan perniagaan dan bank-bank perlu segera membuat kaunter khas bukannya menunggu mangsa datang untuk meminta bantuan.
Tegasnya, peniaga sudah alami kerugian teruk dan tidak perlu terbeban dengan hal yang remeh-temeh.
“Nak bantu modal kewangan tidak terlalu bergantung kepada rekod Sistem Maklumat Rujukan Kredit Berpusat (CCRIS) dan CTOS Data Systems Sdn Bhd (CTOS) dalam menentukan kelayakan usahawan yang memohon pinjaman,” jelasnya
Katanya, inisiatif berkenaan bagi meringankan beban usahawan yang mengalami kerosakan premis perniagaan dan stok barangan serta kediaman mereka.
Beliau berkata, para usahawan ini harus diberi ruang untuk pulihkan perniagaan bagi menyokong kelestarian perniagaan mereka terutamanya dalam waktu yang mencabar ini.
Sementara itu, Sohaimi turut menggesa pihak pemberi pinjaman seperti bank dan agensi kerajaan seperti Tekun supaya memberi moratorium pinjaman ataupun sewaan terhadap peniaga yang terkesan akibat bencana alam ini. – Malaysiapost

