ANGKA korban banjir di Selangor setakat ini dilaporkan adalah seramai 17 mangsa membabitkan beberapa daerah yang dilanda bencana berkenaan sejak Sabtu lalu.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, berkata daerah Klang dilaporkan mencatatkan kematian tertinggi dengan 10 kematian.
“Sehingga jam 8 pagi tadi, seramai 17 kematian telah dicatatkan di negeri Selangor.
“Klang mencatatkan 10 kematian, Hulu Langat tiga kematian dan Sepang empat kematian dilaporkan,” katanya dalam sidang media khas situasi semasa banjir Selangor, hari ini.
Menurutnya, bagaimanapun punca sebenar kematian kesemua 17 kes terbabit sedang dikenalpasti.
“Ada kejadian mungkin bukan disebabkan banjir. Mungkin meninggal dunia akibat kekurangan ubat dan sebagainya. Itu akan dimuktamadkan dalam masa yang terdekat.
“Justeru bagi pihak pentadbiran kerajaan negeri saya ingin mengucapkan takziah kepada semua mangsa khususnya keluarga yang kehilangan mereka yang tersayang.
“Ada juga kematian ini bukanlah mangsa banjir, tetapi ada juga membabitkan dikalangan sukarelawan. Ada satu kes. Kita berharap mereka bersabar dalam dugaan ini,” katanya.
Beliau turut mengumumkan kerajaan negeri akan memberi sumbangan RM10,000 kepada keluarga setiap mangsa yang terkorban dalam tragedi yang begitu besar ini. – Malaysiapost

