Agong turun padang lawat mangsa banjir di Raub

0
1

YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar duli berangkat melawat mangsa banjir yang ditempatkan di beberapa pusat pemindahan sementara (PPS) di Raub, Pahang hari ini.

PPS yang dilawati baginda adalah di Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Sungai, Pusat Kegiatan Wanita Batu Malim, Dewan Kampung Sega Lama, SK Muhammad Jabar, Dong dan Balai Raya Kampung Pamah Kulat, Ulu Dong.

Istana Negara dalam kenyataannya berkata, lawatan itu menzahirkan keprihatinan baginda tinggi kepada rakyat yang ditimpa musibah.

“Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda di PPS pertama iaitu SK Ulu Sungai pada jam 12.00 tengah hari disambut Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak.

“Sejurus ketibaaannya, Seri Paduka Baginda telah berkenan menerima persembahan taklimat oleh Pegawai Daerah Raub, Datuk Mohammad Shahid Ismail.

“Pada lawatan hari ini, Seri Paduka Baginda telah berkenan meluangkan masa hampir tiga jam menyantuni dan beramah mesra bersama mangsa-mangsa banjir di lima PPS tersebut,” kata Istana Negara menerusi Facebook rasminya.

Istana Negara memaklumkan, Seri Paduka Baginda turut berkenan mengurniakan sumbangan kepada 277 keluarga yang ditempatkan di lima PPS tersebut dengan harapan ianya dapat mengurangkan beban yang ditanggung akibat musibah banjir.

“Keberangkatan Seri Paduka Baginda mencemar duli adalah cerminan keperibadian tinggi dan kasih kepada rakyatnya tanpa mengira masa, tempat dan cuaca.

“Pada lawatan di PPS SK Ulu Sungai, Seri Paduka Baginda menzahirkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada semua jabatan dan agensi kerajaan yang membantu menguruskan mangsa banjir.

“Seri Paduka Baginda juga menyeru agensi-agensi kerajaan yang berkaitan tidak leka dan lebih proaktif melaksanakan tanggungjawab menyelamat dan menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir yang terperangkap, termasuk mangsa banjir di pedalaman,” katanya.

Turut mengiring baginda ialah Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Dalam pada itu, Istana Negara berkata, Al-Sultan Abdullah turut mengulangi titahnya supaya ujian saringan Covid-19 dilakukan terhadap mangsa-mangsa banjir di semua PPS bagi memastikan tiada kluster baharu berlaku dan semua pihak yang berada di PPS mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Seri Paduka Baginda turut menzahirkan simpati kepada mangsa-mangsa banjir dan menasihati rakyat mematuhi semua arahan dan perintah yang dikeluarkan oleh kerajaan demi keselamatan diri dan keluarga tersayang.

“Justeru, Seri Paduka Baginda mengajak semua rakyat Malaysia untuk bersama-sama mendoakan agar situasi banjir dan cuaca buruk yang berlaku di Malaysia tidak berlarutan dan segera berakhir,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here