Lebih 80 peratus air di Taman Sri Muda ‘disedut’ keluar

0
1

LEBIH 80 peratus air banjir di kawasan Taman Sri Muda, Shah Alam berjaya dikeluarkan dan disalurkan ke Sungai Klang hasil penggunaan 24 mesin penyedut air.

Bagaimanapun, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Abdull Latiff Ahmad, berkata banyak faktor lain yang perlu diambil kira untuk memastikan air surut sepenuhnya.

“Kita perlu ambil kira faktor cuaca jika tidak berlaku hujan maka lebih cepat proses itu berlaku.

“Kalau boleh kita nak sedut habis tetapi kawasan perumahan Sri Muda ini luas tetapi kita dah berjaya kurangkan paras air daripada tiga meter kepada satu meter, perlu lihat kepada pasang surut air,” katanya seperti dilapor Astro Awani.

Beliau berkata, operasi menempatkan kesemua mesin penyedut berkenaan telah mula dilakukan seawal jam 2 pagi hari ini.

Dalam pada itu, operasi menebuk benteng yang turut dilakukan merupakan antara usaha yang dijalankan bagi mengeluarkan air banjir.

Setakat ini, operasi menyelamat mangsa yang terkandas di Sri Muda masih giat dijalankan.

Situasi banjir di Taman Sri Muda merupakan kesan susulan cuaca hujan yang berterusan sejak beberapa hari lalu.

Sementara itu, Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Aminuddin Hassim, berkata berlaku penurunan paras air banjir yang signifikan pada lewat petang hari ini.

“Sebelum ini, rumah setingkat telah tenggelam tetapi kini saya lihat telah surut sekitar satu kaki (0.3 meter) sahaja.

“Sejumlah 18 pam telah digunakan dan jika ada keperluan, kami akan tambah penggunaannya bergantung kepada keperluan semasa,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here