JABATAN Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) menafikan maklumat cuaca berkenaan ‘Kepala Ribut’ yang sedang tular di pelbagai platform media sosial serta aplikasi WhatsApp.
Penyebaran maklumat dalam sebuah artikel yang bertajuk ‘Awas baru terkena ekor, kepala ribut belum sampai’ disahkan adalah palsu.
“Met Malaysia menegaskan bahawa penyebaran maklumat berita palsu dan tidak sahih boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” menurut MET Malaysia dalam satu kenyataan, hari ini.
Jabatan berkenaan turut memaklumkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) juga mengingatkan orang ramai agar tidak menyebarkan berita palsu berkenaan.
“Justeru, orang ramai diingatkan supaya mendapatkan maklumat sahih berkenaan ramalan dan amaran cuaca melalui laman web rasmi dan laman media sosial rasmi MET Malaysia atau melalui talian hotline. 1-300-22-1638 dan aplikasi myCuaca.
“SKMM turut memberi amaran kepada orang ramai agar tidak menyebarkan maklumat palsu menerusi SMS atau media sosial kerana ianya adalah dibawah kesalahan SeksyenSeksyen 211 dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” menurut kenyataan itu lagi.
Menurutnya, jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya.
Sementara itu, MET Malaysia turut memaklumkan ramalan sebenar adalah Taufan Rai sedang bergerak menuju ke arah Timur Laut Da Nang, Vietnam dengan kelajuan 20km/j dan menjauhi rantau negara. – Malaysiapost.

