DUA beranak menjadi korban terbaharu bencana banjir di Selangor, hari ini menjadikan keseluruhan sembilan mangsa meninggal dunia akibat banjir yang berlaku sejak Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib yang mengesahkannya perkara itu, memaklumkan mangsa membabitkan warga emas dipercayai berusia antara 70 dan 90 tahun.
Menurutnya, mayat kedua-dua mangsa ditemui di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam kira-kira jam 4 petang tadi.
Terdahulu media melaporkan mayat lelaki berusia 52 tahun ditemui terapung oleh pasukan bomba dan penyelamat, di tingkat bawah Blok C, Flat Taman Pertama, Dengkil, pada jam 7.50 pagi hari ini.
Pada Sabtu, seorang lelaki berusia 30-an dilaporkan maut dipercayai terkena renjatan elektrik ketika melalui premis perniagaan di Taman Deluxe, Dengkil ketika banjir.
Seorang pemandu lori berusia 45 tahun dipercayai lemas dalam usaha menyelamatkan diri dalam lori yang dinaiki banjir di laluan berhampiran Simpang Desa Coalfield, pada jam 4.50 pagi semalam.
Sementara itu, tiga mayat dipercayai korban banjir ditemui di Taman Sri Muda, dengan dua mayat ditemukan jam 1 pagi manakala seorang lagi pada 5 pagi tadi.
Turut dilaporkan seorang mangsa dipercayai hilang di Sungai Pinang, Klang. – Malaysiapost

