PM: Usahawan terjejas banjir boleh pohon pembiayaan sehingga RM5,000

0
1

KERAJAAN bersetuju menyediakan pembiayaan tanpa faedah dan keuntungan sehingga RM5,000 kepada usahawan terjejas dalam bencana banjir di beberapa negeri kini, umum Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri berkata pembiayaan itu disediakan melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) dan pembayaran hanya bermula selepas enam bulan perjanjian ditandatangani.

Menurut Ismail Sabri, kerajaan turut memperuntukan RM30 juta untuk pinjaman pemulihan banjir melalui melalui TEKUN Nasional manakala sektor koperasi dibantu menerusi
Bantuan Kecemasan Koperasi Suruhanjaya Koperasi Malaysia sehingga RM30,000.

“Kerajaan juga bersetuju untuk memberikan dua bulan pengecualian sewa kepada penyewa SME Bank’s Entrepreneur Premises Complex yang terjejas akibat banjir.

“Kerajaan melalui SME Bank juga akan memudah cara permohonan penstrukturan semula pinjaman yang terjejas akibat banjir,” katanya.

Menurutnya kesemua bantuan itu diputuskan dalam Mesyuarat Khas Penyelarasan Bencana Negara yang bersetuju untuk menyediakan bantuan tambahan kepada mangsa banjir.

Ia adalah tambahan peruntukan awal berjumlah RM100 juta bagi membaik pulih rumah dan infrastruktur rosak serta bantuan wang ihsan RM1,000 kepada setiap ketua isi rumah terjejas akibat banjir.

Ismail Sabri turut memaklumkan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bersetuju menyumbang RM50.8 juta bagi membantu usaha menangani bencana banjir dan usaha pemulihan pasca banjir.

“Ini adalah peningkatan lebih 100 peratus berbanding RM25 juta diumumkan semalam.

“GLIC dan GLC yang telah menyumbang ini termasuklah Petronas; Yayasan Petronas; Khazanah Nasional dan Yayasan Hasanah; Yayasan Sime Darby; CIMB; Celcom; Telekom Malaysia; Yayasan UEM; dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Dengan geran Kerajaan sebanyak RM25 juta, ini bermakna dana untuk usaha menangani impak banjir dan pemulihan pasca-banjir adalah RM75.8 juta,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here