SATU lagi mayat mangsa banjir dikeluarkan dari kawasan perumahan Taman Sri Muda, Shah Alam, pada jam 7.30 malam tadi.
Ia menjadikan tujuh individu terkorban di kawasan itu dan mangsa ke 10 di Selangor.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis yang mengesahkan perkara itu bagaimanapun memberitahu, pihaknya masih belum mengenal pasti identiti mangsa.
Namun, menurutnya, berdasarkan maklumat awal, lelaki itu berusia dalam lingkungan 30-an.
Di Sri Muda, Shah Alam, enam mayat ditemukan termasuk dua dipercayai ibu dan anak yang dibawa keluar kira-kira jam 4 petang, tadi.
Dua lagi mangsa maut dipercayai lemas dalam kejadian berasingan di Dengkil, Sepang dengan identiti mereka belum dikenal pasti.
Satu lagi kes maut membabitkan seorang lelaki dipercayai pemandu treler yang ditemui di Desa Coalfields, Kuala Selangor, semalam. – Malaysiapost

