10 maut kemalangan babit tiga kereta, sebuah treler

0
1

SERAMAI 10 maut dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di kawasan Rehat dan Rawat USJ Lebuhraya Elite menghala Shah Alam semalam.

Mangsa maut terdiri daripada lima kanak-kanak lelaki, tiga kanak-kanak perempuan dan masing-masing satu lelaki serta perempuan dewasa.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis, berkata kemalangan membabitkan dua Proton Wira, sebuah Perodua Axia dan sebuah treler.

Beliau berkata, sepasukan 12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya dan BBP Puchong dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada 11.42 malam untuk operasi menyelamat.

“Nahas membabitkan 17 mangsa, yang mana 10 daripadanya disahkan meninggal dunia.

“Mangsa yang maut adalah seorang lelaki dan seorang wanita, manakala lapan lagi membabitkan lima kanak-kanak lelaki dan tiga kanak-kanak perempuan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, sebaik tiba di lokasi bomba bertindak mengeluarkan mangsa dengan menggunakan peralatan khas.

“Sebuah kren digunakan untuk mengangkat treler terbabit. Semua mangsa berjaya dikeluarkan dan diserahkan kepada pihak polis.

“Bagaimanapun, 10 mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Operasi ditamatkan pada 2.40 pagi,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here