Perjuangan i-Citra bukan untuk keuntungan politik – Asyraf Wajdi

0
2

PEMUDA Umno tidak memerlukan perjuangan pengeluaran i-Citra Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000 untuk keuntungan politik.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata ketika i-Citra dan i-Sinar diluluskan kerajaan, pihaknya tidak mengisytihar ia sebagai perjuangan Pemuda Umno sahaja.

Katanya, malah beliau biarkan sahaja parti lain ‘claim credit’ kejayaan itu walaupun pihak tersebut antara yang paling lantang mengecam Pemuda Umno sebelumnya.

“Biarpun dituduh mahu meraih keuntungan politik, saya dan Pemuda Umno tidak akan sesekali berhenti memperjuangkan suara hati rakyat yang mengharapkan pengeluaran i-Citra KWSP buat kali terakhir.

“Perjuangan Pemuda Umno bagi pengeluaran RM10,000 KWSP bukanlah untuk menggadaikan masa depan pencarum,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Asyraf Wajdi berkata, beliau maklum bahawa 67 peratus pencarum KWSP mempunyai kurang RM240,000 simpanan bagi persaraan, namun mengapa kerajaan merasakan rakyat ‘malas’ sehingga tidak akan menambah semula simpanan sebelum bersara.

Beliau juga mempersoalkan stigma bahawa jumlah RM10,000 menerusi simpanan KWSP yang dikeluarkan rakyat akan digunakan untuk perkara yang tidak berfaedah.

“Kami di Pemuda Umno merasai sendiri rintihan rakyat yang mengadu susah. Tapi walaupun susah, rakyat kita masih mempunyai maruah. Rakyat kita tidak mahu mengemis meminta-minta. Rakyat kita hanya mahu sebahagian simpanan mereka.

“Kita sebagai kerajaan mesti mempunyai kepercayaan kepada rakyat. Kerajaan yang tidak percaya kepada rakyat, tidak akan kekal lama menjadi kerajaan,” katanya.

Sementara itu, beliau menjelaskan Pemuda Umno akan sentiasa bersama menggemakan suara demi mendapatkan senyuman rakyat menggenggam tangan berterima kasih atas usaha pihaknya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here