FAISAL Halim bertekad menjadikan aksi penting menentang Indonesia Ahad ini, bukan perlawanan terakhir Harimau Malaya di Singapura.
Malah pemain sayap itu berkobar-kobar dan tidak sabar diturunkan buat kali pertama dalam Piala AFF 2020 selepas disahkan bebas daripada Covid-19 awal minggu ini.
Dia yang mesra disapa Mickey oleh rakan sepasukan percaya siapa pun yang bakal diturunkan menentang Indonesia nanti, pasti akan berjuang habis-habisan memastikan cabaran Malaysia ke separuh akhir.
“Saya tak nak anggap ini perlawanan terakhir buat saya dan rakan-rakan, saya sudah terlepas tiga perlawanan sebelum ini, sia-sia saya datang hampir sebulan, tinggalkan isteri, anak, keluarga hanya bermain untuk satu perlawanan dan pulang.
“Itu tidak berbaloi bagi saya dan rakan-rakan, apa yang boleh saya katakan menentang Indonesia ini satu perlawanan yang amat-amat penting untuk pemain dan rakyat Malaysia.
“Kita perlu menang walau apa cara sekali pun untuk layak ke separuh akhir,” katanya dipetik Cakap Sukan, hari ini.
Faisal terlepas tiga perlawanan terdahulu apabila dirinya dan penjaga gawang, Khairulazhan Khalid disahkan positif Covid-19 selepas menjalani ujian calitan sebaik tiba di Lapangan Terbang Changi, 3 Disember lalu.
Mengimbas kembali detik disahkan positif Covid-19 menjelang kejohanan bermula, Faisal berkata, dia tidak menyangka virus itu mengjangkitinya dan menyifatkan ia takdir yang mungkin ada hikmah di sebaliknya.
Selepas disahkan bebas dari tempoh pengasingan selama 10 hari dan mula menjalani latihan bersama pasukan, Faisal kini bersedia sepenuhnya dari segi fizikal dan mental untuk berhadapan aksi getir di Stadium Nasional, Singapura, Ahad ini.
Faisal juga berazam untuk membuktikan dia bukan ‘penumpang’ dalam skuad negara dengan hanya duduk dalam bilik selama 10 hingga 12 hari, tetapi hadir untuk mencipta kejayaan buat Harimau Malaya.
“Tapi apa yang boleh saya buat ini semua adalah takdir dan terima dengan hati terbuka, apa yang perlu saya lakukan sekarang bangun dan buat sesuatu yang luar jangkaan orang.
“Tiga perlawanan lepas saya sangat kecewa dan sedih tidak sangka benda ini berlaku di saat saya ingin bermain dalam kejohanan pertama buat diri saya.
“Memang sebelum datang Singapura saya katakan pada diri ini peluang terbaik saya membuktikan sesuatu dan saya mampu bermain di peringkat lebih tinggi,” katanya. – Malaysiapost

