Sungai Semenyih tercemar: Polis panggil pemilik kilang

0
1

POLIS semalam memanggil pemilik sebuah kilang di Dengkil bagi membantu siasatan susulan pencemaran bau di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang, Superintendan Md Noor Aehwan Mohammad, berkata rakaman keterangan diambil di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang.

Beliau berkata, pihaknya menerima laporan daripada Pasukan Khas Lembangan dan Alur Air (PAKAR) pada jam 8.50 pagi semalam berhubung pencemaran bau di LRA Sungai Semenyih, di Jenderam Hilir, Dengkil dan terpaksa dihenti tugas pada jam 9 pagi.

Katanya, siasatan dibuat mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat sehingga menyebabkan berlaku pemutusan bekalan air kepada orang ramai.

“Keterangan pengadu yang mengesan punca bau abnormal dari kilang terbabit juga diambil dan kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya selepas siasatan lengkap.

“Pemilik premis mendakwa pihaknya tidak melepaskan sisa abnormal ke dalam Sungai Semenyih sebaliknya premis berkenaan mempunyai penapis untuk merawat sisa buangan yang mengalir masuk ke pembetung sebelum memasuki Sungai Semenyih.

“Hasil siasatan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), PAKAR dan polis di dua premis kilang berkenaan mendapati tiada sebarang efluen dilepaskan, namun terdapat satu aliran bawah tanah yang disyaki mengeluarkan bahan buangan kelihatan seakan-akan minyak,” katanya.

Noor Aehwan berkata, Unit Forensik IPK Selangor juga sudah mengambil lima sampel air di laluan yang dinyatakan pengadu dan di muka sauk LRA berkenaan.

Menurutnya, sampel air turut diambil dari dalam premis kilang yang disyaki termasuk sampel perbandingan yang diambil oleh pihak pengadu untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk perbandingan.

“Kesemua sampel dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis dan tindakan lanjut,” katanya.

Semalam, Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) memaklumkan henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih berikutan pencemaran bau diesel yang dikesan di Sungai Semenyih.

Pihaknya dan LUAS sedang bekerjasama mengenal pasti punca pencemaran air mentah di sepanjang Sungai Semenyih dan anak-anak sungai di sekitar Sungai Semenyih.

Berikutan henti tugas LRA Sungai Semenyih ini, sebanyak 463 kawasan di lima wilayah Air Selangor iaitu Petaling (172 kawasan), Hulu Langat (54 kawasan) dan Sepang (194 kawasan).

Sementara itu, Putrajaya (23 kawasan) dan Kuala Langat (20 kawasan) dijangka mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here