JAWATANKUASA Khas Pengurusan Covid-19 tidak pernah membincangkan Akta 342 bagi meningkatkan denda kompaun untuk individu kepada RM100,000 dan syarikat kepada RM1 juta di samping hukuman penjara sehingga tujuh tahun.
Perkara itu dinyatakan oleh Ahli Parlimen Bagan yang juga ahli jawatankuasa tersebut, Lim Guan Eng menerusi satu hantaran di Facebooknya hari ini.
Jawatankuasa Khas Pengurusan Covid-19 dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Sehubungan itu, Guan Eng mempersoalkan apa gunanya jawatankuasa khas itu jika perkara yang sepatutnya dibincangkan langsung tidak pernah dibentangkan dalam mesyuarat.
Malah katanya, tiada sebarang kertas pembentangan tentang perkara itu dalam mesyuarat-mesyuarat yang lalu.
“Ismail Sabri sepatutnya menjelaskan kenapa perkara ini tidak dibincangkan dalam jawatankuasa khas terlebih dahulu sebelum dibentangkan di Parlimen.
“Jelas, penangguhan untuk membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) tersebut ke hari Isnin minggu depan merupakan taktik licik untuk mengelak sebarang kesan politik negatif ke atas pilihan raya negeri (PRN) Sarawak esok.
“Jika RUU tersebut diluluskan oleh kerajaan semalam, maka GPS akan berdepan reaksi bantahan daripada pengundi. Selepas hari mengundi esok, kerajaan boleh menyambung untuk meluluskan RUU yang tidak memihak kepada kepentingan rakyat,” katanya.
Mengulas lanjut, Guan Eng berkata meningkatkan denda kompaun secara drastik adalah tindakan menghukum rakyat dengan amat keras sekali.
Menurutnya, kerajaan tidak sepatutnya mengambil pendekatan menghukum untuk menangani pandemik Covid-19, sebaliknya harus melaksanakan langkah-langkah pencegahan bersifat rehabilitasi dan mitigasi.
“Pendekatan menghukum rakyat ini jelas menunjukkan kerajaan sedang lari dari tanggungjawab atas kegagalan menguruskan Covid-19 dengan kini meletakkan kesalahan di atas bahu rakyat. Ini bukan sahaja salah, malah menonjolkan ketidakcekapan kerajaan.
“Langkah memastikan pematuhan SOP yang lebih efektif ialah menunjukkan kepimpinan melalui teladan dengan menghentikan dasar tunggang langgang dan u-turn dalam SOP serta menghentikan amalan antara dua darjat dan penyalahgunaan kuasa.
“DAP akan menolak RUU ini pada hari Isnin agar rakyat tidak dipertanggungjawabkan dengan tidak adil dan dihukum dengan keras disebabkan kegagalan kerajaan,” katanya.
Semalam, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama ahli-ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) sekali lagi menyatakan pendirian tegas untuk membantah pindaan Akta 342.
Beliau berkata, pihaknya turut menerima memorandum bantahan keras berhubung akta berkenaan daripada gerakan anak-anak muda dan aktivis rakyat.
Susulan itu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin memaklumkan bahawa pindaan berkenaan yang dijadual dibentangkan semalam ditangguhkan pada Isnin, selaras di bawah Peraturan Mesyuarat 62. – Malaysiapost

