‘Jangan salahkan rakyat atas kegagalan kerajaan tangani Covid-19’

0
1

SETIAUSAHA Agung DAP, Lim Guan Eng menyifatkan tindakan kerajaan menangguhkan pembentangan pindaan Akta 342 Isnin depan, membuktikan perkara itu dilakukan secara tergesa-gesa.

Bekas Menteri Kewangan itu berkata, ia juga jelas menunjukkan bahawa pindaan yang sebelum ini mencadangkan hukuman lebih berat terhadap pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 sebagai tidak munasabah.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menangguhkan pembentangan pindaan terhadap Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) untuk membolehkan jawatankuasa pemilih bersidang pada Isnin depan.

“Ini jelas menunjukkan pindaan yang sebelum ini mencadangkan hukuman terhadap pelanggaran SOP Covid-19 sehingga RM100,000 untuk individu dan RM2 juta untuk pertubuhan korporat serta sehingga 7 tahun (penjara) sangat tidak munasabah dan dilakukan secara tergesa-gesa,” katanya menerusi Facebook.

Mengulas lanjut, Guan Eng mendakwa pindaan itu sebagai usaha kerajaan untuk sekali lagi mencari salah dan menyalahkan rakyat.

“Jangan salahkan rakyat lagi atas kegagalan kerajaan menangani Covid-19, jangan susahkan rakyat lagi.

“Jangan tambah penderitaan rakyat dengan hukuman berat yang tidak munasabah yang tidak akan menyelesaikan masalah. Kami menentang akta ini,” katanya.

Semalam, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama ahli-ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) sekali lagi menyatakan pendirian tegas untuk membantah pindaan Akta 342.

Beliau berkata, pihaknya turut menerima memorandum bantahan keras berhubung akta berkenaan daripada gerakan anak-anak muda dan aktivis rakyat.

Susulan itu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin memaklumkan bahawa pindaan berkenaan yang dijadual dibentangkan semalam ditangguhkan pada Isnin, selaras di bawah Peraturan Mesyuarat 62. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here