Gangguan bekalan air: Pemulihan capai 12% setakat jam 6 pagi tadi

0
1

PEMULIHAN bekalan air di 463 kawasan yang terjejas akibat henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih telah mencapai tahap 12 peratus setakat jam 6 pagi tadi.

Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) dalam kenyataan berkata, tempoh masa pemulihan bekalan air berbeza dari satu kawasan ke kawasan lain bergantung kepada lokasi dan jarak premis pengguna.

Menurutnya, bekalan air di kesemua kawasan yang terjejas akan diterima secara berperingkat dan dijangka pulih sepenuhnya pada 11.30 malam ini.

Peratusan pemulihan di kawasan Hulu Langat telah mencapai 77.8 peratus, di Petaling 7.6 peratus.

Manakala, di Kuala Langat, Putrajaya dan Sepang masih belum dicatatkan peratusan pemulihan.

“Status pemulihan kawasan yang terjejas boleh didapati di pautan hentitugas.airselangor.com

“Air Selangor berharap agar para pengguna yang telah mendapat bekalan air akan menggunakan air secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan di kawasan yang masih terjejas berjalan lancar seperti yang dijadualkan.

“Pengguna boleh merujuk kesemua saluran komunikasi rasmi kami atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300. Pertanyaan dan aduan juga boleh diajukan di Help Centre yang boleh didapati di www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor,” kata kenyataan itu menerusi hantaran Facebook.

Terdahulu, LRA Sungai Semenyih dihenti tugas berikutan insiden pencemaran bau di Sungai Semenyih.

Berikutan itu, sebanyak 463 kawasan di lima wilayah iaitu Petaling (172 kawasan), Hulu Langat (54 kawasan), Sepang (194 kawasan), Putrajaya (23 kawasan) dan Kuala Langat (20 kawasan) mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here