KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) akan membuka semula Pusat Pemberian Vaksin (PPV) mega dalam usaha meningkatkan pemberian suntikan dos penggalak.
Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata usaha itu akan dimulakan terlebih dahulu di Lembah Klang.
Katanya ia susulan keputusan kerajaan bahawa semua penerima vaksin berusia 60 tahun ke atas atau Sinovac mesti mendapat dos penggalak selewat-lewatnya pada Februari 2022 untuk mengekalkan status vaksinasi penuh.
“Anda akan mendapat temu janji dos penggalak di MySejahtera dalam tempoh 180 hari selepas dos kedua (Pfizer atau AstraZeneca) atau 90 hari selepas dos kedua (Sinovac).
“Anda juga boleh menghubungi GP (pengamal perubatan swasta) berhampiran anda di https://vaksincovid.protecthealth.com.my/find untuk mendaftar sebagai senarai menunggu,” katanya menerusi ciapan di Twitter hari ini.
Terdahulu hari ini Khairy berkata status vaksinasi semua penerima dos lengkap vaksin Sinovac atau individu berumur 60 tahun dan ke atas tanpa mengira vaksin diterima sebelum ini akan ditukar menjadi tidak lengkap selepas Februari 2022.
Khairy dilaporkan berkata status berkenaan akan ditukarkan jika kumpulan individu terbabit tidak mendapatkan suntikan dos penggalak selepas tempoh terbabit.
Beliau berkata, individu terbabit juga tidak layak menerima kemudahan-kemudahan yang diberikan kepada penerima dos lengkap vaksin Covid-19.
Dalam ciapan berasingan, Khairy berkata disebabkan penularan pantas varian Omicron di United Kingdom (UK), KKM telah menambah ukuran baharu di mana semua ketibaan dari negara-negara tersebut mesti melakukan ujian sendiri setiap hari semasa tempoh kuarantin wajib.
Seterusnya, katanya, mereka perlu melaporkan semua keputusan ujian kendiri menerusi MySejahtera.
Semalam Setiausaha Kesihatan Britain, Sajid Javid memberitahu Parlimen bahawa jenis jangkitan baharu Omicron kini menyumbang 20 peratus daripada kes Covid-19 yang disahkan di negara itu.
Agensi Keselamatan kesihatan United Kingdom (UK) pula menganggarkan jumlah jangkitan harian kini 200,000 kes sehari. – Malaysiapost

