PPRT: Keutamaan kepada senarai nama dalam eKasih

0
1

KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB) memberi keutamaan kepada senarai nama dalam sistem eKasih bagi proses permohonan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), kata Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Sehubungan itu katanya, Pejabat Daerah akan menyediakan senarai nama dikategorikan sebagai kumpulan miskin dan memerlukan bantuan untuk memiliki rumah, bermula tahun hadapan.

“Senarai ini adalah daripada eKasih dan ini akan diberi keutamaan dan berdasarkan itulah KPLB akan bagi (PPRT).

“Seterusnya adalah senarai yang dikemukakan oleh Ahli-ahli Berhormat (Ahli Parlimen),” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Mahdzir menjawab soalan tambahan Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof (Bersatu-Alor Gajah) mengenai langkah penyelarasan KPLB dalam memberi bantuan segera kepada golongan miskin yang masih mendiami rumah daif.

Sementara itu, beliau memaklumkan KPLB memperuntukkan RM361.1 juta melibatkan 2,400 unit PPRT Bina Baharu (BB) dan 11,450 unit PPRT Baik Pulih (BP) bagi pelaksanaan program PPRT tahun depan.

Katanya, PPRT adalah usaha kerajaan bagi membolehkan rakyat mendiami rumah lebih selamat dan selesa khususnya kepada golongan miskin dan miskin tegar di kawasan luar bandar.

Menjawab soalan asal Mohd Redzuan yang bertanya dasar kerajaan membangunkan PPRT menggunakan Sistem Binaan Berindustri (IBS), Mahdzir menjelaskan pelaksanaan PPRT bagi projek BB secara kaedah IBS telah dimulakan pada 2019.

Menurutnya, ia bertujuan untuk menjimatkan kos dan mengurangkan tempoh masa pembinaan rumah.

“Ini juga bagi menyahut saranan kerajaan yang menggalakkan peningkatan industri pembinaan dengan memberi tumpuan kepada penggunaan IBS, selaras hala tuju ke arah mencapai status negara maju serta pembinaan lestari,” katanya.

Beliau memberitahu bagi tempoh 2019 sehingga 2021, sebanyak 1,918 atau 50.3 peratus unit rumah PPRT BB dilaksanakan secara kaedah IBS berbanding dengan jumlah keseluruhan iaitu 3,833 unit.

“KPLB menyokong usaha agensi pusat untuk melaksanakan semakan semula insentif IBS sedia ada bagi menggalak pemaju menggunakan kaedah teknologi itu dalam mengawal kos dan meningkatkan kecekapan pembinaan terutama projek berskala kecil,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here