KPLB komited tingkat prasarana penduduk luar bandar

0
1
Mahdzir Khalid

KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB) sentiasa komited memastikan penduduk luar bandar menerima kemudahan infrastruktur sewajarnya termasuk pelaksanaan projek seperti Jalan Perhubungan Desa (JPD) di kawasan kampung di Negeri Sembilan.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata KPLB mempunyai beberapa mandat untuk pembangunan luar bandar antaranya jalan luar bandar dan perhubungan desa serta aktiviti sosio ekonomi.

Selain itu katanya, Kesejahteraan Rakyat iaitu Bina Baharu dan Baik Pulih Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT); Pendidikan Awal Kanak-Kanak dan Pendidikan Arus Perdana dan TVET.

“Di bawah Teras 4, Dasar Pembangunan Luar Bandar, pihak kementerian telah menggariskan Liputan Prasarana Luar Bandar Yang Lengkap untuk memastikan akses perhubungan masyarakat luar bandar.

“Bagi memastikan penduduk mendapat kemudahan akses jalan berkualiti dan selesa di kawasan kampung, KPLB akan sentiasa menambah baik pelaksanaan dari segi proses, kaedah dan pemantauan projek supaya memenuhi spesifikasi dan kualiti ditetapkan.

“Ini penting untuk memastikan pelaksanaan projek ini mencapai hasrat kesejahteraan hidup masyarakat dalam aspek fizikal, ekonomi dan sosial,” katanya di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk A Kesavadasas yang meminta KPLB menyatakan agenda pelaksanaan bagi tempoh dua tahun mendatang terhadap penambahbaikan akses jalan perhubungan desa di kawasan kampung di Negeri Sembilan.

Mahdzir berkata bagi mewujudkan kesamarataan taraf hidup ekonomi masyarakat luar bandar, KPLB bukan sahaja memberi tumpuan melaksanakan program atau projek berbentuk pembangunan fizikal, malah program khusus membantu penduduk kategori miskin, miskin tegar dan B40.

Ini katanya, seperti PPRT, Program Latihan Kemahiran dan Kerjaya (PLKK), Program Peningkatan Pendapatan (PPP) serta program keusahawanan di bawah agensi KPLB seperti KEMAS, MARA dan Lembaga Kemajuan Wilayah.

“Program-program ini membentuk suatu pakej nilai tambah untuk memperkasa dan memberi keupayaan kumpulan sasar membentuk jati diri, menjana pendapatan sendiri selain memiliki kediaman yang selamat dan selesa,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here