Akta 342: Anwar terima kunjungan KJ, KP Kesihatan

0
1

KETUA Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menerima kunjungan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah di pejabatnya di bangunan Parlimen.

Ahli Parlimen Port Dickson itu memaklumkan kunjungan itu diadakan setelah Ahli-Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) menyatakan bantahan terhadap cadangan kerajaan meminda Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 (Akta 342).

“Dalam pertemuan tersebut, saya telah menyatakan kebimbangan dan keluhan rakyat berhubung langkah ini,” kata Anwar menerusi perkongsian di Facebook miliknya.

Terdahulu ketika bertemu Sekretariat Solidariti Rakyat yang menyerahkan memorandum Lawan Pindaan Akta 342 di laluan masuk ke bangunan Parlimen pagi tadi, Anwar menyatakan Ahli-Ahli Parlimen PH tidak akan menyokong pindaan berkenaan.

Menurut Anwar ia tidak boleh disokong memandangkan rakyat berdepan kesukaran susulan pandemik Covid-19 dan tidak mahu ditekan lagi oleh pemerintah.

Sebelum ini pelbagai pihak meminta kerajaan memberi perhatian kepada keperluan peruntukan kompaun lebih tinggi dalam Pindaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 (Akta 342).

Mereka berpendapat pengenaan kompaun lebih tinggi tidak lagi relevan ketika semua orang bergelut dalam masalah ekonomi yang tidak menentu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here