Kes tembak: 5 anggota trafik ditukar ke Bahagian Pentadbiran

0
1

LIMA anggota polis dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching yang terlibat dalam kes tembak seorang suspek lelaki malam tadi, ditukarkan ke Bahagian Pentadbiran serta-merta.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail berkata tindakan tersebut diambil untuk melancarkan lagi siasatan yang dijalankan.

Menurutnya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.

Tegasnya, polis menjalankan siasatan secara menyeluruh untuk melengkapkan siasatan.

“Justeru orang ramai dimohon agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menganggu siasatan polis,” katanya seperti dilaporkan Utusan Borneo hari ini.

Terdahulu malam tadi seorang lelaki maut ditembak polis di persimpangan lampu isyarat Jalan Simpang Tiga, Kuching.

Lelaki berusia 24 tahun itu ditembak oleh anggota Polis Trafik IPD Kuching dalam kejadian jam 7.20 malam.

Aidi menerusi kenyataan berkata kejadian berlaku ketika anggota trafik berkenaan cuba menahan Proton Saga dalam keadaan mencurigakan dan dipandu dalam keadaan bahaya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here