MUDA tolak Pindaan Akta 342

0
1

PARTI Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) menolak Pindaan Rang Undang-Undang Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2021 (Akta 342) yang diusulkan Kementerian Kesihatan (KKM) di Dewan Rakyat.

Menurut Ahli Jawatankuasa Parti MUDA, pindaan Akta 342 tidak munasabah kerana mengabaikan kesejahteraan rakyat.

“Menurut pindaan ini, individu yang gagal mematuhi SOP kesihatan boleh dikenakan denda maksimum RM100,000 dan penjara tujuh tahun sebelum ditukar pada minit terakhir kepada denda RM50,000 dan penjara tiga tahun.

“Ini jelas menggambarkan Pindaan Akta 342 ini didraf secara tergesa-gesa dan dibuat tanpa ada rasa tanggungjawab kepada rakyat.

“Ahli-Ahli Parlimen juga hanya dapat tahu secara lebih terperinci Pindaan Akta 342 bermula Isnin 13 Disember 2021,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, MUDA juga menzahirkan kebimbangan pelaksanaan Pindaan Akta 342 akan terus dibuat antara dua darjat dengan membeza-bezakan layanan antara rakyat biasa dan menteri seperti diamalkan kerajaan selama ini.

Maka, katanya, MUDA menggesa kerajaan untuk menangguhkan perbahasan usul Pindaan Akta 342 dan mengambil kira terlebih dahulu pandangan Ahli-Ahli Parlimen, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), komuniti perniagaan dan Majlis Peguam sebelum merangka semula Pindaan Akta 342.

“Ini Rang Undang-Undang paling utama bagi menjamin Malaysia bersedia untuk berhadapan dengan pandemik Covid-19.

“Kerajaan seharusnya memberi perhatian dan lebih berhati-hati sebelum membentangkan usul ini supaya tidak membebankan rakyat dan tidak melupakan pendekatan ‘whole of government dan whole of society’,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here