AGENSI Antidadah Kebangsaan (AADK) membenarkan sesi lawatan khas keluarga/penjaga klien yang mengikuti Program Rawatan dan Pemulihan di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) di seluruh negara sempena sambutan Hari Natal.
Sesi lawatan khas secara bersemuka itu hanya dibenarkan di negeri yang berada dalam Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) manakala negeri-negeri yang belum mencapai Fasa 4 PPN hanya dibenarkan pertemuan secara dalam talian.
AADK menerusi kenyataan memaklumkan kebenaran bersemuka itu perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) PPN ditetapkan termasuk hanya pelawat lengkap dua dos vaksin dibenarkan bagi tempoh lima hari bermula 25 hingga 29 Disember 2021.
“Setiap keluarga/penjaga perlu membuat janji temu dengan pihak PUSPEN bagi mengelak kesesakan, melancarkan perkhidmatan AADK dan mengelakkan risiko penularan jangkitan wabak Covid-19.
“Permohonan janji temu itu boleh dibuat menerusi pangggilan telefon; khidmat pesanan ringkas (SMS), pesanan aplikasi WhatsApp; surat atau e-mel kepada Pegawai Pemulihan terlibat.
“Lawatan secara walk-in tidak dibenarkan sama sekali dalam tempoh pandemik ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
AADK berkata maklumat lanjut boleh diperoleh dengan menghubungi PUSPEN berkaitan atau melayari laman web rasmi AADK di www.adk.gov.my.
Menurutnya, sesi lawatan keluarga itu akan memberi ruang dan peluang kepada keluarga dan penjaga serta klien untuk bertemu mesra serta sebagai pendekatan teraputik dalam menyokong pengekalan kepulihan klien yang berada dalam institusi. – Malaysiapost

