
SEBANYAK 198 pesakit Covid-19 direkodkan memerlukan alat bantuan pernafasan (ABP) hari ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, perkembangan terbaharu itu merekodkan jumlah pesakit ABP di Malaysia kini di bawah paras 200 kes.
Menurutnya, kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) pula terus kekal di bawah 400 kes iaitu 383 kes.
“Bagi kes positif hari ini, ia menunjukkan peningkatan iaitu 4,262 kes berbanding semalam 3,900 kes, sekali gus di atasi pesakit yang sembuh 4,985 kes.
“Sebanyak enam kluster baharu dicatatkan, menjadikan jumlah kluster terkumpul sejak pandemik melanda negara iaitu 6,062 kluster dengan 248 kluster aktif, manakala jumlah kluster yang telah tamat sebanyak 5,814 kluster,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Noor Hisham berkata, daripada 4,262 kes harian yang dilaporkan hari ini, 78 kes (1.8 peratus) adalah kategori tiga, empat dan lima, manakala bakinya, 4,184 kes (98.2 peratus) adalah kategori satu dan dua. – Malaysiapost
