10 bekas pelajar MRSM diterima masuk sekolah harian

0
2

SEMUA pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar yang ditamatkan pengajian akan meneruskannya di sekolah harian.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Seri Mohd Radzi Md Jidin berkata, 10 pelajar yang terlibat dalam insiden buli itu perlu menjalani proses intervensi serta kaunseling di sekolah yang ditetapkan.

“Sekolah (harian) menerima pelajar ini, tetapi bukan sekadar menerima sebab ada rekod. Kita akan pantau mereka dan beri kaunseling, kita tidak boleh biarkan (sahaja) mereka masuk sistem sedia ada.

“Perlu ada sistem pemantauan rapi, intervensi daripada kaunselor agar timbul kesedaran dalam kalangan pelajar ini,” katanya dipetik Sinar Harian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penyampaian Anugerah Hari Guru peringkat Kebangsaan Tahun 2021 di Putrajaya, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Radzi berkata, sekolah berkenaan akan mengambil pendekatan diperlukan bagi memantau pelajar itu.

“Dalam konteks buli di sekolah biasanya ia tidak berlaku seorang pelajar dengan seorang, tapi seorang dengan ramai.

“Bila mereka ini seorang, mereka tidak berani pun, tetapi merebak, berani bila seorang berhadapan dengan ramai kerana mereka rasakan seperti satu kumpulan.

“Apabila berpecah ke sekolah lain, mereka sedar tindakan itu tidak betul dan kaunselor memainkan peranan memantau pelajar ini,” katanya.

Selasa lalu, 10 pelajar berumur 13 ke 15 tahun MRSM berkenaan ditamatkan pengajian selepas didapati terlibat dalam kes buli seorang pelajar.

Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Azhar Abdul Manaf berkata, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Jawatankuasa Disiplin Maktab (JDM) berdasarkan Garis Panduan Pengurusan Displin Pelajar MRSM. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here