Beri moratorium sehingga Covid-19 benar-benar selesai – Ahmad Maslan

0
1

AHLI Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan mencadangkan pemberian moratorium dilanjutkan sehingga pandemik Covid-19 yang melanda negara benar-benar selesai.

Beliau berkata, ia boleh dilaksanakan berdasarkan kepada Fasal 4 pindaan Rang Undang-undang (RUU) Langkah-langkah Sementara Bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus.

Katanya, RUU tersebut ada menyentuh mana-mana pihak untuk melaksanakan apa-apa obligasi kontraksual yang timbul dari apa-apa kontrak yang disebabkan oleh langkah-langkah yang ditetapkan boleh mengguna penyelesaian secara perantaraan atau ‘mediation’.

“Apa yang saya ingin tanya dan mohon penjelasan ialah bagaimana dengan moratorium pinjaman bayaran balik untuk rumah, kereta dan perniagaan adakah segalanya itu boleh menggunakan penyelesaian secara perantaraan supaya mereka yang terlibat dalam masalah, tetapi sukar untuk membayar balik pinjaman.

“Dan apabila telah ditarik balik moratorium pinjaman mereka akan mula membayarnya dan ini satu bebanan daripada rakyat sebab Covid ini belum selesai sepenuhnya. Ada pula entah apa lagi varian selepas ini,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Justeru, Ahmad yang juga Setiausaha Agung Umno mengharapkan agar pelanjutan moratorium diberi pertimbangan untuk membantu golongan yang terjejas terutama dari kalangan B40, M40 dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Jadi kalau kita hanya menghadkan waktu 1 Jan 2021 hingga 31 Dis 2021 ia tidak boleh dianggap membantu kerana pada tahun depan pun yang hanya beberapa hari lagi, penyakit ini masih belum selesai.

“Oleh itu saya ingin mencadangkan supaya apa yang hendak kita pinda ini waktunya itu hendaklah dilanjutkan sehingga Covid benar-benar selesai.

“Supaya apabila moratorium yang ada kontrak, kena bayar selepas itu, katalah kena bayar mulai bulan satu…dua…tiga, rakyat masih lagi boleh memohon ehsan, pertimbangan daripada pihak bank supaya mereka boleh dilanjutkan moratorium pinjaman balik atas kes-kes tertentu,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here