GARA-GARA membeli sepasang kucing parsi menggunakan wang palsu, dua individu ditahan polis hari ini.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superitendan Arshad Abu berkata, kedua-dua suspek ditahan di sebuah rumah di Simpang Pulai, Ipoh selepas membeli dua kucing parsi daripada seorang pesara guru berusia 56 tahun pada 11 Disember lalu di Plaza Tol Ayer Keroh.
“Pesara guru dari Bukit Beruang itu membuat laporan di Balai Polis Alor Gajah kerana penjualan itu berlaku di plaza tol yang terletak di bawah bidang kuasa kami,” katanya dipetik The Star, hari ini.
Arshad berkata, mangsa telah ditawarkan RM2,600 untuk dua kucing peliharaannya dan suspek berjanji akan membayarnya secara tunai.
Mangsa mengesyaki sesuatu yang tidak kena apabila wang yang dibayar tidak diterima oleh seorang penjual haiwan peliharaan di Skudai, Johor pada 12 Disember lalu.
Arshad menjelaskan, mangsa kemudiannya membuat laporan dan menyerahkan wang palsu itu kepada polis untuk siasatan lanjut.
Polis akhirnya mengesan suspek iaitu lelaki berusia 22 tahun dan wanita berusia 24 tahun di sebuah rumah di Kampung Kepayang, Simpang Pulai, Ipoh.
“Mereka tinggal bersama dan kami masih dalam usaha untuk memastikan hubungan antara mereka berdua. Kedua-dua mereka didapati positif dadah semasa ujian saringan,” katanya.
Arshad menambah, kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau bagi kesalahan dadah, siasatan awal menunjukkan mereka menggunakan wang kertas palsu untuk membeli-belah dan transaksi lain.
Arshad berkata, kedua-duanya direman sehingga 20 Disember bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 489B Kanun Keseksaan dan juga Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Menurutnya, polis turut merampas dua kucing, sebuah kereta dan mesin pencetak daripada suspek.
“Kami masih menyiasat sama ada suspek yang mencetak wang palsu itu atau ada sindiket di belakangnya, dan kami berterima kasih kepada penjual kucing itu kerana bekerjasama rapat dengan polis,” katanya. – Malaysiapost

