AHLI-AHLI Parlimen Pakatan Harapan (PH) tidak akan menyokong Pindaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 (Akta 342).
Ketua Pembangkang yang juga Pengerusi PH menegaskan ia tidak boleh disokong memandangkan rakyat berdepan kesukaran susulan pandemik Covid-19 dan bukan ditekan lagi oleh pemerintah.
“Kami Ahli-Ahli Parlimen dari PH tidak boleh menyokong pindaan ini tatkala rakyat dibuli dan ditekan oleh pemerintah,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya hari ini.
Terdahulu beliau dan beberapa Ahli Parlimen PH menerima memorandum diserahkan gerakan anak-anak muda dan aktivis rakyat yang membantah cadangan kerajaan untuk meminda akta berkenaan.
“Pagi ini saya bersama beberapa Ahli Parlimen lain termasuk mantan Menteri Kesihatan YB Dr Dzulkefly Ahmad telah menerima memorandum dari gerakan anak-anak muda dan aktivis rakyat.
“Mereka hadir bagi menyatakan pendirian tegas serta bantahan keras terhadap rencana kerajaan berhubung langkah melawan wabak menerusi pindaan pada Akta Akta 342,” katanya.
Terdahulu pelbagai pihak meminta kerajaan memberi perhatian kepada keperluan peruntukan kompaun lebih tinggi dalam Pindaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 (Akta 342).
Mereka berpendapat pengenaan kompaun lebih tinggi tidak lagi relevan ketika semua orang bergelut dalam masalah ekonomi yang tidak menentu. – Malaysiapost

