Status bertukar tidak lengkap jika tidak ambil dos penggalak – KJ

0
1

STATUS vaksinasi semua penerima dos lengkap vaksin Sinovac atau individu berumur 60 tahun dan ke atas tanpa mengira vaksin yang diterima sebelum ini akan ditukar menjadi tidak lengkap selepas Februari 2022.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, berkata status berkenaan akan ditukarkan jika kumpulan individu terbabit tidak mendapatkan suntikan dos penggalak selepas tempoh terbabit.

Beliau berkata, individu terbabit juga tidak layak menerima kemudahan-kemudahan yang diberikan kepada penerima dos lengkap vaksin Covid-19.

“Sehubungan itu, individu dalam kumpulan yang dinyatakan iaitu semua penerima dos lengkap vaksin Sinovac atau individu berumur 60 tahun dan ke atas (tanpa mengira jenis vaksin primer) perlu mendapatkan suntikan dos penggalak selewat-lewatnya pada bulan Februari 2022,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, sehingga hari ini Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) telah meluluskan vaksin Comirnaty keluaran Pfizer-BioNTech, vaksin CoronaVac keluaran Sinovac dan vaksin AstraZeneca untuk digunakan sebagai dos penggalak.

“Lanjutan daripada itu pihak Jawatankuasa Kerja Teknikal (TWG) telah mengesyorkan dos penggalak diberikan kepada semua penduduk berumur 18 tahun dan ke atas.

“Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), melalui ‘Strategic Advisory Group of Experts on Immunisation (SAGE) telah mencadangkan semua penerima dos lengkap Sinovac dan individu berumur 60 tahun ke atas perlu mengambil dos penggalak,” katanya.

Kahiry berkata, ia bagi mengekalkan status vaksinasi lengkap dan cadangan itu telah disahkan oleh Mesyuarat Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi Covid-19 – Booster (CITF-B) pada 8 Disember lalu. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here