SATU lagi kes Covid-19 varian Omicron dikesan di Malaysia menjadikan jumlah kumulatif kes membabitkan varian berkenaan di negara ini adalah dua kes.
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, berkata kes yang baharu dikesan itu merupakan seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun.
Beliau berkata, kanak-kanak warga Malaysia terbabit menetap bersama keluarganya di Lagos, Nigeria dan tiba di Malaysia bersama Ibu dan adik perempuannya pada 5 Disember lalu.
“Keputusan ujian RT-PCR kanak-kanak terbabit sebelum berlepas ke Malaysia adalah negatif.
“Kes bersama Ibu dan adiknya berlepas menaiki penerbangan yang transit di Doha, Qatar sebelum tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan mereka menjalani ujian RT-PCR Covid-19 sekali lagi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, kesemua mereka telah diberi Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di bawah Seksyen 15 Akta Pencegahan dan Pengalawan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) serta diarahkan menjalani kuarantin wajib di rumah.
“Keputusan ujian RT-PCR kes semasa ketibaan didapati positif Covid-19 pada 7 Disember lalu. Kes tidak mempunyai gejala dan diarahkan menjalani isolasi di rumah selama 14 hari.
“Kontak rapat kepada kes ini adalah termasuk ibu, adik, bapa dan pemandu teksi yang membawa mereka ke rumah,” katanya.
Khairy berkata, ujian yang dijalankan terhadap ibu dan adik perempuan kes sehingga ke hari kesebelas adalah negatif, manakala ujian bagi pemandu teksi pula sedang dijalankan.
“Bapa kes pula tiba di Malaysia pada 12 Disember lalu dan menjalani arahan kuarantin di sebuah stesen kuarantin swasta dengan ujian saringan pada hari ketibaannya adalah negatif.
“Terdapat seramai 35 kontak rapat dalam penerbangan iaitu empat bari’s tempat duduk di hadapan, belakang, sebelah kiri dab kanan kes,” katanya.
Menurutnya, ujian saringan yang dijalankan semasa ketibaan mendapati kesemua kontak rapat berkenaan adalah negatif dan pemantauan terhadap kes serta kontak rapat dilaksanakan secara menyeluruh dari semasa ke semasa.
“Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersama Jabatan Kesihatan Negeri dan Pejabat Kesihatan Daerah meneruskan siasatan lanjut termasuk siasatan kontak rapat semasa dalam penerbangan.
“Buat masa ini punca jangkitan kes masih dalam siasatan,” katanya. – Malaysiapost

