MAJIKAN yang menggajikan pekerja asing digesa mengambil peluang melalui keputusan kerajaan melanjutkan tempoh Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dalam Program Rehiring.
Ketua Pengarah Imigresen Malaysia Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud, berkata peluang itu perlu diambil untuk memperbaharui PLKS pekerja masing-masing.
Menurutnya, Program Rehiring merupakan inisiatif kerajaan yang dilaksanakan pada 2016 bertujuan untuk memberi peluang kepada pendatang asing tanpa izin (PATI) yang bekerja di Malaysia untuk diberikan PLKS yang sah untuk tempoh maksimum lima tahun bagi memenuhi keperluan tenaga kerja di sektor-sektor yang dibenarkan.
“Sehingga 30 November 2021, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) merekodkan 185,577 PLKS Program Rehiring yang masih aktif.
“Mengambil kira pelaksanaan program berkenaan mulai 2016, PLKS yang sah laku untuk tempoh lima tahun akan tamat secara berfasa mulai 2021 sehingga 2024,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, dalam perkara itu, bagi mengelakkan majikan terputus sumber tenaga kerja kerajaan pada 19 November lalu bersetuju tempoh penggajian pemegang PLKS bagi Program Rehiring dilanjutkan setahun demi setahun sehingga maksimum lima tahun tertakluk kepada keperluan.
“Sehubungan dengan itu, JIM ingin mengumumkan bahawa permohonan pelanjutan PLKS bagi Program Rehiring akan dibuka mulai 20 Disember 2021,
“JIM menggesa supaya semua majikan mengambil peluang melalui keputusan Kerajaan ini untuk memperbaharui PLKS pekerja masing-masing.
“Majikan boleh mendapatkan keterangan lanjut mengenai pelanjutan tempoh penggajian bagi pekerja PLKS di bawah Program Rehiring ini di laman sesawang JIM di pautan https://www.imi.gov.my,” katanya. – Malaysiapost

