CUEPACS tidak setuju pengeluaran KWSP sekali lagi

0
1

KONGRES Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) meminta kerajaan menghentikan kemudahan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), bagi mengelakkan kesengsaraan kepada rakyat semasa persaraan.

Presidennya Datuk Adnan Mat, berkata sehingga kini kerajaan telah membenarkan beberapa siri pengeluaran KWSP kepada rakyat melalui kemudahan i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra dengan jumlah pengeluaran sebanyak RM101.1 bilion.

Katanya, pada peringkat awalnya, CUEPACS bersetuju dengan langkah ini kerana ia mampu memulihkan ekonomi rakyat yang terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran pandemik Covid-19.

“Ia kerana wang tersebut sedikit sebanyak memberi kelegaan kepada rakyat yang terkesan termasuk penjawat awam yang mencarum KWSP serta pasangan mereka yang mungkin terjejas.

“Manfaat ini turut dirasai sendiri oleh penjawat awam kerana sejumlah 400,000 ahli aktif KWSP adalah melibatkan pencarum yang dikategorikan sebagai majikannya adalah kerajaan.

“Maka CUEPACS beranggapan jumlah itu adalah sebahagian daripada penjawat awam yang mungkin memilih skim KWSP, berstatus kontrak atau bekerja dibawah agensi yang berkaitan kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Adnan berkata, setelah hampir dua tahun negara berhadapan pandemik Covid-19, pihaknya melihat ekonomi negara semakin pulih dan kembali berkembang apabila kerajaan tidak lagi mengenakan sekatan yang ketat kepada sektor ekonomi.

“Dalam masa yang sama rakyat juga tidak lagi dikenakan sekatan pergerakan dan kembali boleh melakukan aktiviti serta perniagaan masing-masing.

“Jadi, mengambil kira faktor-faktor ini CUEPACS berpandangan tiada lagi keperluan untuk kerajaan membenarkan kemudahan untuk mengeluarkan wang simpanan KWSP pekerja.

“Tambahan pula data KWSP yang memaklumkan 50 peratus ahli KWSP mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000 amat membimbangkan dan memberi kesan lebih besar sekiranya kebenaran pengeluaran diberikan sekali lagi,” katanya.

Beliau berkata, matlamat utama KWSP adalah untuk memastikan para pekerja mempunyai simpanan yang mencukupi bagi kegunaan selepas persaraan atau hari tua kelak.

“Jika pengeluaran secara besar-besaran ini terus dilakukan walaupun ekonomi negara telah kembali pulih, sudah tentu ia akan menjejaskan matlamat asal KWSP.

“Kesannya kelak ramai yang akan bersara dengan jumlah simpanan KWSP terlalu rendah dan mungkin akan menjadi pesara yang miskin,” katanya.

Beliau berkata, CUEPACS tidak bersetuju sekiranya masih ada lagi cadangan untuk membenarkan pengeluaran wang KWSP memandangkan lebih RM100 bilion telah dikeluarkan sebelum ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here