Isma Halil himpun ribuan cerita dalam penjara

0
1

PENYAMPAI radio berpengalaman Isma Halil Hamzah, reda dengan ujian dihadapinya ketika ini yang merubah keseluruhan hidupnya selepas ditahan di sebalik tirai besi.

Menurutnya, kehidupannya sekarang telah berubah dan tidak dapat bersuara dan bersiaran seperti dahulu.

Beliau yang juga pengasas radio dalam talian Bapakku FM, kini direman di Penjara Sungai Buloh atas kesalahan dadah.

Isma Halil turut memohon maaf kepada semua pendengarnya dan sahabat serta keluarga, selain bersyukur kerana masih diberi peluang meneruskan hidup.

“Buat pendengar yang selama ini mendengar, hari ini saya hanya mampu menulis. Keterbatasan ini kita insafi, namun tetap kita bersyukur ke hadrat Ilahi dengan limpah kurnianya ini kita dapat bernafas.

“Maafkan saya kepada semua, kalau saya pernah tidak memuaskan hati anda. Hidup dan kehidupan saya di sini telah berubah, saya sudah tidak dapat bersuara dan bersiaran seperti dahulu,” tulisnya dalam surat yang dikongsikan peguamnya di Facebook, hari ini.

Terdahulu Isma Halil, dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur untuk sebutan semula kes dihadapinya yang didakwa mengikut Seksyen 39B (1) (A) Akta Dadah Berbahaya 1952 membabitkan dadah jenis ganja seberat 409 gram.

Peguam yang mewakilinya, Adi Zulkarnain Zulkafli, berkata kes berkenaan akan disebut semula pada 27 Januari 2022 susulan laporan kimia kes berkenaan belum siap.

Dalam warkahnya, Isma Halil mengakui kehidupan di penjara banyak mengajarnya termasuk ribuan kisah kes-kes dan kehidupan penjara.

“Saya ambil dari sudut yang positif. Semuanya saya himpunkan dan suatu hari nanti dengan izin Allah akan saya ceritakan dan keudarakan,” katanya.

Beliau turut terharu dengan apabila rakannya berusaha mewujudkan radio Internet My friend.Fm selepas Bapakku FM dibekukan.

“Tahniah semua ahli kelab My Friend. Saya tidak pernah meminta sumbangan anda semua tetapi saya perlukan doa kalian.

“Terima kasih kepada semua pegawai Penjara Sungai Buloh, kakitangan penjara, tuan-tuan banyak mengajar saya terutama di Blok Ehsan yang sudah menjadi rumah dan tempat tinggal saya.

“Banyak yang nak saya ceritakan kehidupan saya sebagai “Orang Kerja” di Blok Ehsan..tak cukup dakwat pen ini untuk saya tuliskan. Semoga suatu hari nanti akan dapat saya ceritakan di udara seperti waktu-waktu dahulu,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here