MENTERI Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz menyifatkan Bajet 2022 amat penting kerana ia akan menjadi pemangkin untuk memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia serta menyokong pemulihan ekonomi negara.
Menerusi hantaran di Facebooknya, beliau berkata, sokongan semua pihak terhadap Bajet 2022 juga adalah sama penting, sama ada oleh parti pembangkang, golongan profesional, pemain industri dan juga rakyat.
“Selesai membentang Bajet 2022 di Dewan Negara pagi ini. Saya ucapkan terima kasih kepada semua Ahli-Ahli Dewan Negara yang hadir untuk mendengar dan meneliti pembentangan saya sebentar tadi.⠀
⠀
“Walaupun setiap tahun bajet dibentang, namun bagi tahun ini, Bajet 2022 ini adalah amat penting kerana ia akan menjadi pemangkin untuk memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia serta menyokong pemulihan ekonomi negara terus berada di landasan yang tepat,” katanya.⠀
⠀
Justeru, beliau menyeru semua pihak mengenepikan perbezaan dan satukan semangat dalam menjamin kesejahteraan Keluarga Malaysia, kelangsungan perniagaan tempatan dan pemulihan ekonomi negara.
Semalam, Rang Undang-Undang Perbekalan (Bajet) 2022 diluluskan di Dewan Rakyat selepas bacaan kali ketiga diputuskan menerusi undian suara.
Keputusan itu dimaklumkan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun lewat petang semalam.
Bajet 2022 yang dibentang Tengku Zafrul pada 29 Oktober lalu membolehkan kerajaan menggunakan dana di bawah Kumpulan Wang Disatukan untuk tujuan perbelanjaan negara bagi tahun depan.
Bajet 2022 menyediakan peruntukan tertinggi dalam sejarah dengan jumlah RM332.1 bilion bagi menyedia dan merancang pelbagai strategi serta inisiatif bagi mensejahterakan rakyat dan membangunkan ekonomi yang makmur serta mampan. – Malaysiapost

