Juruteknik taman tema air maut terkena renjatan elektrik

0
1
https://unsplash.com/photos/ImcUkZ72oUs

SEORANG juruteknik berusia 25 tahun maut terkena renjatan elektrik dalam satu kemalangan ketika menjalankan kerja-kerja menyelenggara lampu ‘spotlight’ di sebuah taman air yang terletak di Ipoh, Perak kelmarin.

Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak, Supian Alias, berkata dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 12.45 tengah hari itu, mangsa seorang lelaki tempatan sedang menjalankan kerja berkenaan berhampiran salah satu kawasan kolam mandi di situ yang sering tidak berfungsi.

Menurutnya, mangsa ditemukan terjatuh ke dalam air dalam keadaan lemah dan tidak bermaya oleh rakan sekerjanya.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun pada jam 1.48 tengah hari pada hari yang sama.

“Susulan dari siasatan awal yang dijalankan, JKKP Perak telah mengeluarkan arahan larangan kacau ganggu sehingga tindakan penambahbaikan diambil oleh pihak majikan.

“Satu notis larangan telah dikeluarkan kepada majikan kerana gagal menyediakan sistem kerja selamat bagi aktiviti kerja penyelenggaraan peralatan elektrik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Supian berkata, hasil siasatan awal yang dijalankan mendapati mangsa telah bekerja selama empat tahun sebagai seorang juruteknik di taman teman air tersebut.

Katanya, JKKP Perak akan mengambil tindakan undang-undang ke atas pihak yang bertanggungjawab sekiranya terdapat pelanggaran di bawah peruntukan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

Dalam masa sama, beliau berkata JKKP negeri turut memandang serius setiap kemalangan melibatkan pekerja mahupun orang awam.

“Majikan mempunyai kawalan penuh ke atas sebarang aktiviti di tempat kerja. Majikan bertanggungjawab untuk mengenal pasti terlebih dahulu bahaya-bahaya di tempat kerja, membuat analisis risiko dan seterusnya mengadakan kawalan risiko yang berkesan sebelum pekerja menjalankan aktiviti kerja.

“Hal ini bagi mengurangkan risiko keselamatan ke atas pekerja dan mengelak berlakunya kemalangan,” katanya.

Beliau berkata, kejadian seumpama itu boleh dielakkan jika majikan melaksanakan penaksiran dan kawalan risiko yang komprehensif mengikut kaedah yang dinyatakan dalam Garis Panduan bagi Pengenalpastian Hazard, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko (HIRARC). – Malaysiapost

Gambar sekadar hiasan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here