KESEMUA 10 suspek kes buli pelajar di sebuah institusi pendidikan berasrama penuh di Kuala Kangsar, Perak yang ditahan sebelum ini sudah dibebaskan dengan jaminan polis.
Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mazlan Lazim, berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini sedang melengkapkan siasatan berhubung kes berkenaan.
“Bagi kes buli di Perak, kita telah menangkap seramai 10 orang suspek yang juga pelajar berumur 13 hingga 15 tahun dan kesemua pelajar ini dipercayai terbabit dalam kes buli berkenaan.
“Kesemua mereka telah dibebaskan dengan jaminan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Polis akan melengkapkan siasatan kes ini secepat mungkin untuk diserahkan kepada pihak Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya,” katanya dalam sidang media di Mes Pegawai Kanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.
Menurutnya, PDRM memandang serius kes berkenaan dan tidak mahu ia berlaku lagi di institusi pendidikan lain dengan mengambil tindakan tegas mengikut tindakan jenayah.
“Polis menasihatkan orang ramai terutama pelajar agar melaporkan kegiatan buli yang berlaku dengan cepat supaya tindakan pencegahan dapat dibuat.
“Pencegahan lebih baik daripada pemulihan itu yang penting. Jika pencegahan tidak diambil segera dan perkara sudah berlaku maka ‘nasi dah menjadi bubur’ jadi tiada gunanya.
“Sebab itu jika sudah ada ‘bunga-bunga’ perbuatan buli nak berlaku maklum segera pada pihak polis dan kita akan ambil tindakan sewajarnya,” katanya. – Malaysiapost

