BERSATU melantik Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bemban, Dr Mohd Yadzil Yaakub sebagai Ketua Pimpinan negeri Melaka yang baharu, berkuat kuasa hari ini.
Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata pelantikan Dr Mohd Yadzil bagi menggantikan Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen yang telah meletakkan jawatan Ketua Pimpinan Bersatu Melaka dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) pada 26 November lalu.
“Dr Mohd Yadzil yang telah memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November yang lalu, adalah merupakan Ketua Bahagian Bersatu Jasin dan Timbalan Pengerusi PN Negeri Melaka.
“Berkelulusan Ijazah Perubatan dari Universiti Udayana Indonesia, beliau pernah berkhidmat di Hospital Melaka dari tahun 2005 hingga 2009 sebelum menjadi Pegawai Perubatan di Poliklinik Hidayah, Jasin,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Muhyiddin juga mengumumkan pelantikan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin sebagai Timbalan Ketua Pimpinan Bersatu Melaka yang baharu.
Beliau berkata, Mas Ermieyati yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri merupakan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Naib Ketua Srikandi serta Ketua Bahagian Masjid Tanah.
“Pelantikan YB (Yang Berhormat) Dr Mohd Yadzil dan YB Datuk Wira Mas Ermieyati bagi menerajui Badan Pimpinan Negeri Bersatu Melaka serta penyusunan semula Badan Pimpinan Negeri Bersatu Melaka.
“Ia diyakini dapat memperkuatkan struktur parti Bersatu dan memperkukuhkan lagi perkhidmatan parti kepada rakyat negeri Melaka khususnya,” katanya. – Malaysiapost

