SEBUAH video berdurasi lebih satu minit melibatkan tragedi seorang lelaki warga emas yang maut ditikam ketika mahu menunaikan solat Jumaat, tular di media sosial sejak semalam.
Rakaman tersebut adalah rangkuman beberapa video yang diambil daripada visual ‘dashcam’ dan melalui telefon bimbit orang ramai yang berada di tempat kejadian.
Visual yang sempat dirakam kamera dashcam memaparkan seorang lelaki meluru ke arah warga emas tersebut dan menikam mangsa di hadapan sebuah rumah.
Suspek bertindak melarikan diri selepas mangsa rebah dan berlumuran darah selepas ditikam.
Dalam video itu juga menunjukkan beberapa individu mengejar suspek dan dirakam menerusi kamera dashcam, namun suspek berjaya meloloskan diri.
Semakan di ruangan komen mendapati netizen tidak sampai hati untuk menonton video tersebut kerana membayangkan warga emas tersebut yang ditikam dengan kejam.
Rata-rata netizen menyifatkan kejadian tersebut sangat kejam kerana suspek sanggup menikam mangsa yang ketika itu ingin menunaikan ibadah.
Terdahulu, media melaporkan mangsa, Mohd Sani Abdullah, 69, yang mahu menunaikan solat Jumaat di masjid, maut apabila dipercayai ditikam dua lelaki berhampiran pintu pagar rumahnya.
Polis menerima maklumat kejadian jam 12.38 tengah hari tadi membabitkan mangsa berusia 69 tahun yang ditemui terbaring berlumuran darah di hadapan rumahnya di Kampung Idaman di Klang, Selangor.
Menurut Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong, kedua-dua suspek yang menikam mangsa berumur 33 tahun sudah diberkas di dua lokasi berasingan sekitar Klang dan Shah Alam. – Malaysiapost

