2 suspek tikam warga emas hingga maut, direman seminggu

0
1
Polis Di Raja Malaysia

DUA lelaki direman seminggu bagi membantu siasatan kes kontraktor warga emas yang maut ditikam ketika mahu menunaikan solat Jumaat di Kampung Idaman, Pandamaran, Klang, Selangor, semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong, berkata perintah reman ke atas kedua-dua suspek berusia 33 tahun itu dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Klang hari ini.

“Tempoh reman ke atas mereka salah seorang daripadanya penggangur dibenarkan selama tujuh hari sehingga 17 Disember ini.

“Siasatan menyeluruh kes itu masih sedang dijalankan,” katanya seperti dilapor Utusan Online. 

Semalam, media melaporkan mangsa, Mohd Sani Abdullah, 69, meninggal dunia akibat kecederaan pada anggota badan.

Dalam kejadian jam 12.35 tengah hari itu, mangsa sedang bersiap untuk pergi menunaikan solat Jumaat di sekitar kawasan berkenaan.

Mangsa kemudian didatangi seorang lelaki yang bertindak menikamnya di badan dengan pisau lalu melarikan diri.

Hoong Fong berkata, pihaknya masih mengenal pasti motif sebenar kejadian itu.

“Kita akan memaklumkan perkembangan kes berkenaan dari semasa ke semasa,” katanya.

Terdahulu, polis berjaya memberkas dua suspek berkenaan dalam tempoh kurang empat jam di sekitar Klang dan Shah Alam.

Penahanan kira-kira jam 4 petang semalam itu turut menemukan pisau yang digunakan suspek untuk menikam mangsa.

Semakan rekod mendapati suspek mempunyai tiga rekod lampau iaitu satu rekod jenayah dan dua rekod dadah. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here